Sunday, April 28, 2019

TOPIK 7 : PENGURUSAN SUMBER

PENGURUSAN SUMBER




Pengurusan sumber memainkan peranan yang amat penting dalam mencapai tujuan ataupun matlamat sesebuah sekolah. Pengurusan sumber yang cekap dan berkesan akan menghasilkan individu yang berkualiti, produktif dan seterusnya meminimumkan masalah yang berkaitan dengan sumber masalah ini termasuklah ketidakhadiran, ketidakpuasan kerja, pusing ganti pekerja dan sebagainya. Oleh itu, pengurusan sumber memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan sumber organisasi berjalan lancar dan berdaya saing untuk mencapai matlamat tersebut. Pengurus dan juga setiap pekerja perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan pengurusan sumber.

Pengurusan Sumber bermaksud satu proses membuat keputusan bagi menjamin bekalan sumber yang berterusan melalui usaha pemeliharaan dan pemuliharaan. Dessler (1997), telah mentakrifkan konsep ini sebagai suatu bentuk hubungan pengurusan sumber manusia dengan matlamat dan objektif organisasi yang strategik. Konsep ini lebih memberikan tumpuan terhadap kaedah atau cara sesebuah organisasi mengurus dan mentadbir sumber manusia.



⇒ Pusat Sumber

Pusat sumber sekolah merupakan satu pusat yang memuatkan koleksi maklumat dan sumber – sumber ilmu dahulu dan kini untuk digunakan oleh pelajar. Pusat sumber juga merupakan satu tempat untuk mengakses maklumat bersepadu yang mengandungi pelbagai sumber pendidikan dalam bentuk bahan bercetak, bukan bercetak dan digital. Pusat sumber perlu diurus secara sistematik agar dapat menarik minat pelajar dan bertujuan untuk memupuk tabiat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pusat sumber bertujuan untuk mengumpul, menyusun, menyimpan dan mengedarkan pelbagai ilmu dan sumber kepada pelajar. Ia juga dapat melatih para pelajar menggunakan perkhidmatan mengesan maklumat, membuat rujukan, dan menggunakan peralatan sekiranya mereka diarahkan untuk membuat suatu tugasan yang memerlukan lebih banyak maklumat. Pusat sumber juga menyebar maklumat terkini yang berkaitan dengan aktiviti pendidikan dan isu-isu semasa. Contohnya, surat khabar akan ditukar setiap minggu begitu juga dengan majalah untuk mendapatkan info-info terkini. Seterusnya ia dapat mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar dan juga guru serta dapat memberi pelbagai jenis kemudahan kepada guru dan pelajar untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Pusat Sumber juga berfungsi untuk menyediakan dan mempromosikan bahan bacaan dan sumber yang berkualiti yang dapat menarik minat pelajar. Bukan itu sahaja, ia juga b
erperanan sebagai tempat untuk memperkembangkan kurikulum dan kokurikulum institusi pendidikan kerana terdapat pelbagai jenis buku untuk pelajar memperoleh ilmu sedikit demi sedikit seperti kata peribahasa 'sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit'. Oleh itu pelajar yang rajin membaca sememangnya memiliki ilmu yang banyak dan berkualiti berbanding pelajar lain. Seterusnya, pusat sumber juga dijadikan tempat penerangan, penyebaran maklumat serta sumber dan tempat untuk memperolehi alat dan bahan pelajaran dan pengajaran. Misalnya, guru boleh melakukan proses PdP di pusat sumber dan menganjurkan aktiviti galakkan membaca, pameran, pertandingan akademik dan sebagainya.

Kesimpulannya, Pusat sumber sememangnya suatu sumber yang sangat penting bagi sesebuah sekolah. Tanpa pusat sumber, pelajar-pelajar hanya mendapat ilmu pengetahuan daripada guru sahaja sedangkan mereka boleh menambahkan ilmu pengetahuan mereka sendiri dengan membaca suatu buku dan membuat rujukan tentangnya. Oleh itu, pusat sumber dapat meningkatkan serba sedikit ilmu pelajar dan seterusnya menjadikan mereka seorang individu yang berpengetahuan.


⇒ Rujukan

No comments:

Post a Comment